OKTOBER 2024

Peningkatan Sambutan Pesta Regatta Sarawak 2024 - Penyertaan Antarabangsa Dan Industri Kraf Tempatan


Kuching, 26 Oktober – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyatakan peningkatan penyertaan dalam Pesta Regatta Sarawak tahun ini. 

Dalam satu sidang media di Tebingan Sungai Kuching, beliau menekankan bahawa jumlah penyertaan dalam acara perahu naga, khususnya kategori International Dragon Boat Regatta, mencatat penyertaan hampir 2,000 peserta yang melibatkan pengayuh, kumpulan, dan para penyokong.

“Sebenarnya banyak pihak berminat untuk menyertai Dragon Boat, tetapi kita terpaksa menghadkan penyertaan disebabkan kekangan ruang,” katanya.

Datuk Patinggi Abang Johari turut mengucapkan terima kasih kepada Kraftangan Malaysia yang menyertai majlis ini dan membawa pelbagai penyertaan dari industri kraf tempatan. 

Sebanyak 112 penyertaan dicatatkan dalam industri ini, dengan 75 datang dari Sarawak, 21 dari Sabah, dan selebihnya dari Semenanjung Malaysia. Ini merupakan usaha bersama dalam mengintegrasikan industri kraf tempatan ke pentas antarabangsa.

“Pasaran luar negara juga semakin bertambah bagi produk kraf kita, termasuklah produk yang dihasilkan oleh masyarakat Penan di Sarawak. Kita mempunyai syarikat yang membantu membangunkan kraf masyarakat tempatan dan sasaran jualan mereka pada tahun ini dijangka mencapai sekitar RM1.5 juta. Ini merupakan peningkatan daripada RM1.3 juta pada tahun 2023,” jelas beliau.

Menurut beliau lagi, Pesta Regatta yang berlangsung seiring dengan acara-acara lain seperti Maraton Sarawak dijangka menyumbang kepada hasil ekonomi negeri. 

Dalam pada itu, Premier Sarawak turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di bawah pimpinan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah atas usaha meningkatkan kehadiran pelancong ke Sarawak melalui pelbagai acara dan persidangan bertaraf antarabangsa yang diadakan di negeri ini.

Pesta Regatta Sarawak kali ini bukan sahaja meraikan tradisi lumba perahu tetapi juga berfungsi sebagai platform mempromosikan hasil kraf tempatan ke pasaran luar, menjadikan Sarawak destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya dan peluang perniagaan.